Keputusan memeranjatkan buat kali kedua, selepas tiga tahun lalu SO7 menyingkirkan Anton gara-gara berdepan masalah disiplin. Kehilangan yang belum berganti, namun membangkitkan persoalan apakah SO7 masih mampu mempertahankan populariti mereka?
Ahad lalu, kumpulan yang semakin popular dengan lagu Pemenang itu menutup siri konsert jelajah mereka di empat kota apabila beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Berbanding konsert pertama yang diadakan tiga tahun lalu, kehadiran terbaru mereka sedikit terkesan dengan kemerosotan jumlah penonton.
Di mana silapnya? Apakah SO7 semakin hilang sengatnya? Hip bertemu kumpulan popular Indonesia itu untuk mencungkil rahsia yang tersirat di hati SO7 yang kini dibarisi Duta, Adam, Eross dan Brian Kresna Putro sebagai pemuzik undangan.
Hip: Beza konsert terbaru berbanding persembahan tiga tahun lalu? Ada terasa kekurangan tambahan pula sambutan untuk konsert terbaru tidak sehangat dulu?
Adam: Apa yang membuat kami bersyukur, setiap kali ke Malaysia SO7 selalu berkesempatan untuk mengadakan persembahan. Sama ada kecil atau besar, ia membawa sesuatu yang bermakna kepada kami semua. SO7 melihat kesempatan ini sebagai menambahkan lagi pengalaman kami. Syukur kehadiran kami biasanya disambut peminat yang digelar Sheila Gang.
Hip: Adakah ketiadaan Anton dan Sakti turut memberi kesan kepada SO7?
Adam: Alhamdulillah, semua faham malah peminat sudah menerima ketiadaan Sakti dan Anton.
Duta: Kami ingin memohon maaf kepada peminat yang masih mengharapkan SO7 kekal dengan anggota asal. Dari awal hingga akhir SO7 harus terus berjalan. Ada yang kita harus perjuangkan. Selagi punya semangat, kita rasa masih dihargai.
Hip: Sejujurnya sejauh mana pengunduran Sakti memberi kesan kepada penerbitan album terbaru?
Eross: Kami perlu terus berkarya meskipun terpaksa merombak keseluruhan lagu yang sudah pun dirakamkan untuk menyesuaikan SO7 dengan situasi baru. Justeru, apabila dia meminta untuk mengundur diri, kami perlu merakamkan semula enam lagu malah muziknya juga diubah tanpa gitar kedua. Namun, sekiranya satu hari nanti Sakti ingin kembali, kami tidak akan teragak-agak untuk menerima kehadirannya.
Hip: Apakah SO7 masih yakin mempunyai pengaruh yang besar di sini terutama selepas menyaksikan banyak kumpulan baru?
Duta: Kami tidak pernah rasa tergugat dengan kehadiran band Indonesia yang lain. Selama mana saja mereka mampu bertahan? Perkara itu masih menjadi persoalan. Contohnya, Peterpan baru dua tahun hadir, baru saja merakamkan dua album sedangkan S07 sudah tujuh tahun berada dalam industri. Jangan kami dibandingkan malah, SO7 tidak merasa tergugat langsung dengan kehadiran mereka.
Hip: Melihat sambutan kurang memberangsangkan malam ini, apakah itu petanda SO7 makin pudar semangatnya?
Duta: Alhamdulillah, sampai malam ini sangat luar biasa. Begitu juga ketika kami mengadakan persembahan di tiga lokasi lain seperti di Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang. Sambutan yang diterima lebih daripada apa yang dibayangkan. Ini membuktikan kami belum hilang populariti. Sebaliknya, sokongan ini memberi kami semangat untuk SO7 terus berkarya.
Hip: Bagaimana SO7 melihat perjalanan sepanjang sedekad ini?
Duta: Kami melalui situasi yang berbeza. SO7 lahir lebih 10 tahun lalu, sudah lama, dewasa dan matang. Situasi seperti ini tidak wajar dijadikan kayu pengukur. Kami tidak pernah takut seandainya satu hari nanti tidak lagi popular. Selagi menghasilkan karya bagus dan komited dengan apa yang dilakukan, masih ramai akan menyokong kami. Kami tidak gentar untuk melangkah walaupun dalam tempoh 10 atau 20 tahun lagi.
Hip: Apa yang membuat SO7 begitu yakin sedangkan lagu daripada album terbaru agak mengambil masa untuk diterima?
Duta: Kami yakin kerana SO7 tidak terus meluncur ke atas, sebaliknya kami memulakan perjalanan dari bawah. Barangkali ada yang kurang yakin dengan kemampuan kami, maklum kami sendiri sudah lama tidak datang mengadakan persembahan di sini. Biar masa menentukannya. Kami yakin dalam masa empat tahun lagi, karya SO7 akan terus diterima.
Hip: Bagaimana penerimaan kalian apabila Sakti menyatakan hasratnya untuk mengundur diri?
Eross: Kehilangan Sakti sangat dirasai. Kami terkejut dengan keputusannya kerana sebelum ini Sakti tidak pernah menunjukkan tanda akan meninggalkan SO7. Dia patuh dengan suruhan agama, tetapi tidak pernah mencampuradukkan urusan peribadi dengan muzik.
Hip: Apakah pengundurannya didorong kekurangan komitmen?
Eross: Dia sentiasa memberi komitmen baik terhadap kumpulan, begitu juga tanggungjawabnya sebagai pemain gitar. Ketika menyuarakan hasrat untuk berundur, kami memujuk dan memberinya waktu menarik balik keputusan itu. Namun dia nekad, jadi kami perlu akur dengan kehendaknya. Siapa kami untuk menghalang jika itu adalah keputusan terbaik untuk dirinya.
Hip: Apa janji SO7 kepada peminat?
Duta: Walaupun kini kami hanya bergerak dengan tiga anggota asal. Ini tidak akan menghentikan semangat kami. Kami rasa ada baiknya SO7 terus bermain muzik dan memberikan karya terbaik kepada peminat kami. SO7 bersyukur kerana masih mendapat tempat walaupun anggota kumpulan ini bersilih ganti