August 23, 2006

SO7 tak patah semangat

SUKAR menidakkan kumpulan Sheila On 7 (SO7) yang mula popular dengan lagu Sephia dan Seberapa Pantas. Mereka tidak pernah kecundang setiap kali mengadakan konsert di negara ini.

Namun, apa yang membimbangkan apabila jumlah penonton yang membanjiri lokasi persembahan setiap kali kumpulan itu turun ke Malaysia saban tahun kian berkurangan.

Kali pertama beraksi di konsert pada 2001 di Stadium Melawati, Shah Alam hampir 8,000 peminat hadir dan tahun berikutnya di Konsert Keamanan di Stadium Putra Bukit Jalil, cuma 5,000 saja memenuhi stadium yang boleh memuatkan 10,000.

Ahad lalu, di Stadium Nasional Bukit Jalil, kehangatan sambutan peminat di Malaysia terhadap SO7 dilihat merudum dan paling buruk apabila tidak sampai 3,000 orang hadir memenuhi stadium yang boleh memuatkan hampir 100,000 orang itu.

Banyak faktor yang boleh dikaitkan dengan fenomena itu, antaranya kemasukan kumpulan Indonesia lain yang turut menjadi gilaan peminat muzik tempatan bermula dengan Radja, Peter Pan dan terbaru Samsoon. Selain itu, SO7 pula kehilangan dua anggotanya, Anton dan Sakti.

Bagaimanapun, jelas vokalis utama SO7, Duta, selama beraksi di Malaysia, peminat di sini masih lagi memberikan sambutan baik terutama di Kota Kinabalu dan Pulau Pinang.

“Hakikatnya, kami seronok kerana sekali lagi dapat bertemu peminat di Malaysia. Jumlah penonton tidak boleh dijadikan ukuran kerana kali ini kami mengadakan persembahan di empat lokasi.

“Mengenai kehadiran kumpulan Indonesia lain yang semakin menjadi kegilaan, perkara itu tidak seharusnya dijadikan perbandingan.

“Tambahan pula sepanjang 10 dalam arena muzik Nusantara kami sudah menghasilkan tujuh album sedangkan kumpulan seperti Peter Pan baru ada dua album,” katanya.

Selepas tiga tahun, SO7 kembali menghangatkan ibu kota dengan siri konsert jelajah Malaysia yang berakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu.

Konsert khas kumpulan yang dianggotai Duta (vokal), Eross (gitar), Adam (bass) dan Brian (drum) ditaja syarikat telekomunikasi Digi bermula sejak 13 Ogos di Stadium Larkin, Johor Bahru, diikuti Stadium Likas di Kota Kinabalu, Sabah (16 Ogos) dan International Sport Arena, Pulau Pinang (18 Ogos).

Ketika sidang akhbar sebelum konsert terakhir, Duta dilihat agak tersinggung apabila isu penonton kurang dibangkitkan dengan berkata biar masa saja membuktikan sekiranya benar sesudah tiga tahun SO7 kembali konsert yang dibuat bakal kosong tanpa peminat.

Bagaimanapun, sewaktu konsert berlangsung, Duta mohon maaf apabila mereka berempat muncul dengan menampilkan seorang anggota baru, Brian, berbanding sebelum ini berlima.

“Pernyataan maaf itu ditujukan kepada peminat yang mungkin kecewa apabila Anton dan Sakti tidak ada lagi bersama kami. Namun, hidup S07 terpaksa diteruskan.

“Kepada anggota SO7 lain kami amat sukakan muzik dan ini sudah menjadi cinta hidup kami. Apa juga yang berlaku pada SO7, muzik dan kumpulan ini harus diteruskan.

“Nak diikutkan memang semua manusia mahu sesuatu perkara itu kekal, namun hakikatnya kita sendiri tahu tiada sesiapa pun boleh bertahan selama-lamanya,” katanya.

Sekalipun kehadiran penonton kurang memberangsangkan, namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat SO7 untuk memberikan persembahan terbaik.

Konsert bersempena kemunculan album terbaru 507, bermula tepat jam 9 malam selepas artis jemputan dari Singapura, Bumi Band, mengadakan persembahan pembukaan.

Turut mewarnai konsert, seorang peminat setia S07 dari Indonesia yang menuntut di KL, Cece, beraksi bersama-sama Adam dan Eros menyanyikan lagu Pria Kesepian.

Konsert malam itu juga turut menjadi medan SO7 mempromosikan album terbaru dengan mendendangkan beberapa lagu yang dipetik dari 507, seperti Menyelamatkan Mu, Radio dan Pagi Yang Menakjubkan.

Tidak ketinggalan lagu popular yang menjadi kegilaan seperti Seberapa Pantas, Sephia, Berhenti Berharap dan Melompat Lebih Tinggi

Comments »

The URI to TrackBack this entry is: http://sheilaon7.blogsome.com/2006/08/23/so7-tak-patah-semangat/trackback/

No comments yet.

RSS feed for comments on this post.

Leave a comment

Line and paragraph breaks automatic, e-mail address never displayed, HTML allowed: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>